Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Kopivosian.

 

Yang Arif-Yang Arif, Tuan-Tuan, Puan-Puan serta seluruh warga Mahkamah di negeri Sabah dan Sarawak. 

 

1.   Setiap tahun masyarakat di kalangan kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di Sabah dan masyarakat kaum Dayak di Sarawak pasti tidak sabar menanti ketibaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut pada 30 dan 31 Mei serta 1 dan 2 Jun 2023. Sambutan perayaan ini merupakan saat yang tepat untuk menghormati dan mengenang, menghargai tradisi tinggalan dan kepercayaan nenek moyang melalui upacara adat, doa dan keramaian.
 

2.   Dalam konteks masa kini, seluruh kaum di pelosok Sabah dan Sarawak malah di Semenanjung Malaysia juga mengambil kesempatan meraihkan kemeriahan tradisi tahunan ini. Ini adalah masa terbaik untuk balik kampung menjenguk sanak saudara tersayang, sahabat handai sekaligus mengukuhkan hubungan kekeluargaan, mengeratkan semangat perpaduan, mewujudkan perasaan kasih sayang dan muhibah antara sesama kita.

 

3.   Bagi seluruh warga Mahkamah di negeri Sabah dan Sarawak yang meraihkan sambutan perayaan Kaamatan dan Gawai, dengan berakhirnya musim menuai padi, simboliknya kalian menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kejayaan yang dicapai pada tahun yang sudah dan semoga tahun yang akan datang membawa lebih kejayaan. Titik persamaan inilah juga menjadi teras perpaduan umpama ‘sesusun bak sirih, serumpun bak serai’ di samping memenuhi tuntutan keagamaan dan mengekalkan tradisi.

 

4.   Akhirnya, saya berbesar hati ingin mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai Senang Lantang Nguan Menoa buat seluruh warga Mahkamah di negeri Sabah dan Sarawak yang meraikan sambutan perayaan tersebut.

 

‘KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN’
‘GAYU GURU GERAI NYAMAI SENANG LANTANG NGUAN MENOA’

 

Sekian terima kasih, Kotohuadan.

 

Wabillahittaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh